Total Pageviews

Tuesday, 14 August 2012

Selera Nasi Bubur


Sesekali rasa nak makan nasi bubur atau dulu aku panggil dia nasi air dalam loghat Kelantan aku. Teringat zaman kanak-kanak aku yang mana semasa bersama mak aku yang sedang masak nasi dengan dapur kayu. Apabila nasi yang dimasak itu sedang mendidih, mak selalu mencedok air didih dari periuk dan di dalamnya akan termasuk sekali sebiji dua nasi yang separuh masak. Mak akan bubuh dalam mangkuk dan diletakkan sedikit gula dalam air didih itu. Sedapnya menghirup air didih berperisa beras yang manis itu. Sebab itulah setiap kali mak masak nasi, aku akan order awal-awal air didih tu beserta dengan sedikit nasi mentah di dalamnya, maka nanti mak akan lebihkan air bila masak nasi kerana sedikitnya akan dicedokkan untuk aku menghirupnya. Manisnya kenangan saat itu dan masih terlekat kukuh dalam ingatanku....

Nasi air yang aku maksudkan pula ialah nasi yang direbus dengan air yang banyak, hanya beras dan air sahaja. Bila dah kembang dan lembut, cedokkan ke mangkuk dan masukkan sedikit gula untuk memaniskannya. Di hirup begitu saja. Ringkas saja nasi air ku ketika itu...

Tapi kini aku membuatnya dalam versi kegemaran sendiri. Bukan sudah lupa kenangan lalu, cuma menambah apa yang dirasakan ingin dimakan.

Beras atau nasi di rebus bersama kentang, lobak merak, bawang besar, lada hitam dan sedikit garam. Tambah saja apa perisa yang kita inginkan samada cebisan ayam, daging, ikan rebus yang digoreng atau ikan bilis goreng yang ditumbuk halus atau beberapa ekor udang atau apa sahaja yang kita suka. Kali ini aku buat nasi bubur macam makan mihun sup. Biasalah kerana bulan puasa, citarasa macam-macam.....

Ada potongan fish cake....

Sayur bok choy goreng....
 
Ada serunding ikan yang aku buat hari tu.... 

Campurkan semua bahan, tambahlah hirisan daun sup, daun bawang dan bawang goreng. Jika suka boleh ditambah lagi dengan serbuk lada putih... sila lah makan....
Posted by Picasa

No comments:

Post a Comment