Total Pageviews

Friday, 26 July 2013

Mencuba Sup Minestrone

Salam nuzul quran 17 Ramadhan 1434-H. Waaah.... puasa macam tak rasa apa-apa, rasa baru semalam bermula... daaah sambut nuzul quran dah hari ni. Sesetengah negeri di Malaysia kira tengah bercuti lah hari  ni. Selamat bercuti lah bagi yang bercuti. Tapi tak kira cuti ke tidak, aku ternampak-nampak bagaimana kalut, meriah dan busynya muslim di Malaysia sekarang meraikan Ramadhan dan membuat persediaan raya.   

Sini tidak kurang meriahnya... Di hati aku.... di sini tetap meriah kerana tiada sebarang kekurangan yang aku rasa melainkan sudah lama sangat tidak merasa berbuka puasa dan bersahur bersama ayah bonda dan adik kakak tercinta. Lima kali Ramadhan dah. Tipulah juga jika aku kata tidak rindu. Semoga Allah panjangkan usia berkat kita semua untuk merasa lagi rezeki Ramadhan di tahun-tahun akan datang.

Ramadan kali ini adalah tahun yang paling banyak kali aku berbuka seorang diri. Aku di rumah dan hubby terpaksa banyak kali berbuka di Uni. Tapi alhamdulillah aku mampu tabah dalam hal ini. Buat apa nak sedih. Tiada yang hilang. Semua ada... Hubby, mak, ayah, ma, adik, kakak, abang, anak-anak dan ipar duai semua sihat belaka. Cuma berjauhan seketika sahaja. Sekali lagi tipu juga aku, jika aku kata tak sedih langsung kan... Sejahteralah semua....
 Menu berbuka... baru sempat mencuba setelah lama bertangguh. Dengan tidak cukup bahan, aku teruskan saja. Memang kerana nak menghabiskan stok dalam peti pun.

Sesimple bahan yang aku ada :-
  1. Bawang merah di potong dadu
  2. Bawang puting di potong nipis dan kecil
  3. Carrot di potong dadu
  4. Spring Union di racik kecil
  5. Buah tomato dipotong dadu
  6. Sayur campur pun boleh.
  7. Lada hitam / putih (lebih suka yang mana)
  8. Sos tomato
  9. Daun parsley (sbb dah ada, aku masukkan juga)
  10. Segenggam pasta (apa-apa bentuk)
  11. Garam
  12. 1 kiub ayam 
  13. Sedikit tepung jagung jika nak pekat
  14. Sedikit parmesan cheese
  15. Sedikit minyak untuk menumis
Cara-cara :-
  1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah dan putih hingga wangi. 
  2. Masukkan air sebagai kuah sebanyak yang dikehendaki dan biarkan hingga mendidih.
  3. Masukkan kiub ayam, lada hitam / putih dan semua bahan berbaki. 
  4. Sesuaikan rasa.  Jika suka sup yang likat, bancuhkan tepung jagung dengan air suhu biasa dan dituang ke sup serta di kacau segera.
  5. Boleh di makan samada dengan nasi, garlic bread atau di hirup begitu saja. 
  6. Bila ingin menghirupnya, taburkan cheese parmesan ke permukaan sup bagi yang suka.
Gambar kiri yang aku masak manakala gambar kanan ialah yang first time aku  makan lunch ngan teacher.

First time makan masa lunch dengan my teacher hari tu. Minestrone soup sebagai menu entry. Terus jatuh hati dan rasa nak mencuba lagi.
Hari ni terasa macam nak menghirup lagi.... Macam-macam selera datang bila berpuasa ni kan....

Sunday, 21 July 2013

Udang Salad Dressing

Ringkas, senang, cepat, mudah dan sedap...... :-)

Dengan penyediaan yang rasanya tidak sampai pun 15 minit.
Bahan-bahan :-
  1. Udang... sebanyak  mana yang dikehendaki dengan ukuran sederhana hingga besar.
  2. Mana-mana salad dressing yang disukai, terpulang kepada individu.
  3. Apa-apa daun salad sebagai penghias jika suka.
  4. Sedikit minyak zaitun atau biasa.
 
Cara-cara :-
  1. Bersihkan udang dan masukkan ke dalam satu bekas.
  2. Tuangkan salad dressing pilihan sebagai bahan perapan dan biarkan sebentar jika suka.
  3. Sapu atau spraykan minyak pada kuali non stick dan grillkan udang sehingga masak. Mungkin hanya antara 4 ke 5 minit sahaja. 
  4. Hidangkan beralaskan sayur atau salad kegemaran. Siap. 

Cadangan menu cepat untuk berbuka...... Selamat mencuba....
Posted by Picasa

Saturday, 20 July 2013

Teruja Impian Ber'Hujan Batu" di Adelaide

Seperti tersurat, kita selalu ingat orang-orang akan berkata, jika sesuatu itu masih belum menjadi rezeki kita, makanan yang telah disuap ke mulut pun masih boleh terlepas lagi. Belum sampai masa katanya. 
Seronok dapat pengalaman pegang hujan batu ni.....
Pernah tersengih-sengih geli hati aku semasa membaca tulisan seorang rakan tentang peribahasa melayu; 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri' dan terbalik pula jadinya bila hanya jumpa hujan batu di negeri orang dan hujan emas tetap tiada juga di negeri sendiri.... (minta halal dari empunya diri :-)). Sebenarnya itu juga yang aku ingin maksudkan. Belum pernah melihat hujan batu di negeri sendiri. Mungkinkah pengertiannya juga terbalik? Kerana aku juga sebenarnya menyintai suasana kehidupan aku di negeri ini.... 

Masa aku kecil, ada emak aku bercerita pasal hujan batu yang pernah dia alami lama dulu. Boleh kutip-kutip lagi. Tersangat lama aku mengimpikan dan menunggu masa untuk salah satu pengalaman impian ni. Sejak dari tahun pertama aku di Adelaide ni, rasanya telah beberapa kali kengkawan bercerita pasal hujan batu dan dapat lagi mereka memegangnya. Bercerita selepas berlakunya hujan batu... hmmm terlambat dah untuk aku dapat tengok, semestinya cepat saja mencairnya. Tambah pulak kalau dah hujan tu, tak adalah aku nak keluar rumah. Lagilah aku berkurung. Jadi macammana nak tengok hujan ais ni.

Yang aku ingat rasanya setiap tahun hujan batu berlaku di sini. Cuma rezeki untuk aku dapat melihat dengan mata sendiri belum sampai. Asyik duk tengok gambar yang mereka berjaya memegang ketulan ais je. Teringin sangat nak ada pengalaman tu. Minta pada Allah supaya dapat juga tengok walau pun hanya sekali sebelum balik Malaysia ni. Sebelum ni ada Allah bagi pengalaman tengok frost dalam cuaca pagi yang sangat sejuk. Sekali di Adelaide dan sekali lagi di Sydney.
Sorry lah...tengah excited ni...
Akhiiiirnya..... Alhamdulillah pagi tadi teruja sangat bila dapat bermain-main dalam hujan batu yang sedang turun. Ingatkan petang semalam turunnya. Tapi tengok cuaca berubah dari yang diramalkan. Cuma tak tahulah jika turun ketika aku sedang berterawikh. Dengar juga ada hujan turun malam tadi.

Ceritanya... tadi lepas solat subuh macam biasalah ngaji sikit. Tetiba dengar hujan turun dan ada bunyi macam cermin tingkap aku di lanting oleh sesuatu benda yang kecil-kecil gitu. Petua seorang kawan yang pernah bagitau aku bila aku luahkan yang aku teringin sangat nak tengok hujan batu ni; jika bunyi terpelanting macam yang aku dengar ni (agaknyalah), haaa... mungkinla tu.... lebih-lebih lagi dah dapat tahu melalui weather forecast. Masa tu dalam jam 6.30 pagi. Hari masih gelap dan cuaca pun sangat sejuk dengan angin ribut pun kuat, tapi aku tetap bergegas berlari keluar depan rumah. Ada rezeki rupanya. Sujud syukur aku dibuatnya. 
Ketulan ais ada di mana-mana dan cepat pulak cairnya. Senang kutip bila ada di atas kereta. Dah banyak kutip buat main-main dulu, baru teringat nak snap gambar. Sangat excited sehingga terlupa aku sedang berpuasa bila aku menggigit ais tu dan menelannya. Rezeki...? Allah maha pemurah, menghalalkan apa yang dilupa.
Rezeki dan pengalaman berharga 11 Ramadhan 1434-H.
Alhamdulillah ya Allah... "Selamat meneruskan fasa maghfirah dalam bulan Ramadhan". ....

Tuesday, 16 July 2013

Nasi Minyak Sapi

Resepi mudah..... 

Nasi minyak sapi...? Macam tak sedap pulak bunyinya... tapi apa salahnya jika bagi nama sendiri kepada resepi yang sesuka hati kita sendiri yang masaknya. Kebanyakan nasi yang 'berberiani' ke atau 'berminyak' ke, pakai minyak sapi juga kan..  
Pasal ada entry lepas tentang masakan kuzi tu... maka salah satu nasi yang sesuai dimakan dengan dia ni ialah yang inilah... nasi minyak sapi ni... apa yang pernah aku gabungkan bersama.... Rasanya tidak sepayah mana berbanding dengan nasi-nasi popular yang lain... 

Bahan-bahan (sukatan agak-agak la ya) :-
  1. Beras
  2. Sedikit minyak sapi
  3. Sedikit minyak zaitun
  4. Sedikit garam
  5. Sedikit safron / pewarna safron
  6. Beberapa kuntum cengkih
  7. Bawang goreng untuk hiasan
Cara-cara :-
  1. Beras dibasuh, sukatan air seperti biasa. 
  2. Masukkan minyak zaitun, garam dan cengkih... masak hingga masak lah.
  3. Sementara nasi sedang dimasak, cairkan minyak sapi dalam kuali kecil di atas dapur bersama safron. Ketepikan.
  4. Apabila nasi telah masak, cedok sedikit nasi dalam kuantiti yang kecil ke dalam bekas lain. Tuangkan minyak sapi cair tadi dan digaul rata. Siap....
  5. Jika mahu, boleh bentukkan nasi seperti yang aku buat ni.... alah... dah tahukan... padatkan dalam mangkuk atau bekas kecil ke... kemudian telungkupkanlah ke pinggan nasi bila nak makan... taburkan bawang goreng sebagai hiasan...
 
 Hihihi.... teramat senang..... Boleh makan dengan lauk kuzi hari tu... atau dengan kari pun boleh.....

Posted by Picasa

Sunday, 14 July 2013

Bubur Lambuk Versi Adelaide

Hari ni dah jadi semalam sebab aku menulis ni pun sudah menjangkau lebih jam 12 tengah malam. Dari pagi duk sok sek sok sek hidung. Rasa nak demam pun ada. Banyak bermain dengan habuk dan debu agaknya masa menggeledah barang dan rumah. Tadi dapat pesanan dari Mr Hubby...mungkin dia balik agak lambat kerana seperti biasa. Aku yang dah rasa tak sedap badan ni, terus bersiap tidur awal sebaik sahaja selesai berterawikh. Mengantuk dan penat yang melampau. Semangat kuat yang selalu ada untuk mengemas pun jadi kalah bila dah rasa nak demam ni. 
Sehinggalah ketika aku tengah mengalami mimpi takut, panggilan telefon dari hubby mengejutkan aku...sekaligus menyelamatkan aku dari mimpi takut tadi... :-) tidak sah tidur aku tanpa bermacam cerita dalam tidur...rutin... Seketika bila dah hilang rasa ngantuk selepas basuh muka semua... drive ke City dalam cuaca selepas hujan yang sangat sejuk. Sampai rumah..baru dapat menikmati keenakan bubur lambuk yang dihantar ke rumah ku lewat petang tadi.
Menu untuk berbuka jadi Supper.... :-)
 
Bubur lambuk Adelaide.

Penghantaran juadah untuk menu berbuka. Terima kasih kepada pihak yang memasak bubur lambuk ini. Sedap... tambah pula bila menabur ikan bilis goreng sebagai tambahan hiasannya. Tak dapat makan semasa berbuka disebabkan kekenyangan dengan apa yang sudah ada,  maka tidak salah menikmatinya sebagai supper. 
Terima kasih juga kepada pihak yang membuat penghantaran dari rumah ke rumah. 

Friday, 12 July 2013

Kuzi Ayam

Sekadar renungan :-

"Jika kita melupakan 2 perkara dan sentiasa ingat 2 perkara, nescaya kita akan medapat kebahagiaan dalam hidup; 
Lupakanlah kebaikan kita kepada orang lain dan lupakanlah keburukan orang kepada kita;
Sentiasa ingatkan Allah dan hari akhirat (pembalasan)".
**********************************************************
Selera waktu berbuka selalunya berbeza bagi setiap orang atau setiap keluarga. Ada yang suka berbuka dengan mewajibkan adanya kuih. Ada yang suka berbuka terus dengan nasi. Malah ada yang suka berbuka dengan selain dari nasi atau ringan sikit dari nasi seperti mee ke... mihun ke.. dan macam-macam lagilah berkaitan selera.
Jom masak kuzi ayam untuk menu berbuka. Sesekali berselera berat. Mendengar seolah rumit buatannya tapi terpulang kepada individu melayan sendiri selera dan cara masing-masing. Ini aku cuba nak kongsikan resepi kuzi dan cara yang aku buat. Sebelum ini pernah aku keluarkan entry pasal kuzi ayam ni, tapi tidak disertakan dengan resepi. Ok mulakan....

Bahan-bahan yang aku pakai (anggaran sendiri) :-
  1. 2 ketul ayam bahagian maryland, nak potong ke tidak, terpulang.
  2. 3 sudu makan rempah kuzi
  3. 2 labu bawang besar (sebiji dihiris dan sebiji lagi dikisar)
  4. 3 ulas bawang putih (kisar)
  5. 1 cm halia (kisar)
  6. Beberapa sudu tomato puree (untuk rasa masam)
  7. Beberapa sudu sos tomato
  8. 1/2 tin susu cair
  9. Segenggam kismis.
  10. Segenggam badam yang telah dibuang kulit dan dibelah 2.
  11. Sedikit serbuk cili atau cili padi jika nak pedas
  12. Sesudu minyak sapi
  13. Sedikit minyak masak
  14. Sedikit kunyit (untuk melumur ayam)
  15. Garam dan gula secukup rasa
Cara-cara aku :-
  1. Ayam dibersihkan dan dilumur garam kunyit, ketepikan.
  2. Panaskan minyak sapi bersama minyak masak.
  3. Sebiji bawang merah dihiris nipis dan digoreng hingga garing. Angkat dan ketepikan.
  4. Goreng kismis 1 minit, angkat dan ketepikan 
  5. Goreng badam hingga garing, angkat dan ketepikan.
  6. Dalam minyak yang sama, goreng ayam separuh masak.
  7. Bancuh rempah kuzi dengan sedikit air. Gaul dengan sebiji bawang besar, bawang putih dan halia yang dikisar. Tumis dalam baki minyak tadi hingga naik minyak dan bau. Masukkan cili.
  8. Masukkan ayam dan masak sebentar agak-agak empuk.
  9. Masukkan tomato puree dan sos tomato serta dikacau rata. 
  10. Masukkan susu cair, garam dan gula. Biarkan seketika atau sehingga mendidih. Balik-balikkan ayam. 
  11. Bila ayam dah masak, masukkan bawang goreng tadi, kismis dan juga badam. Biar seketika mendidih. Sesuaikan rasa dan siap.
Samada ingin dimakan dengan nasi putih, nasi minyak atau roti, mengikut selera sendiri..... Selamat berbuka....

Thursday, 11 July 2013

Rutin Menu Sahur

Bukannya malas atau tak lalu nak menelan tapi.....
..... kurma dan minuman bersusu seolah menjadi menu tetap untuk aku bersahur. 

Beginilah rutin sahurku setiap kali sahur sejak beberapa tahun yang lalu. 1 atau 2 atau 3 atau lebih biji kurma (jika berdaya) dengan segelas minuman bersusu atau susu kosong dan ditambah dengan segelas dua air kosong. Jika sesekali aku merasa nasi pun, tenaga yang sama tahap juga aku dapat rasakan. Tiada bezanya bagi aku. Malah tidak usah di sebut lagi kerana kebanyakan kita sudah sedia tahu akan khasiat dan kebaikan kurma juga susu ini... Nikmatilah...

Selamat meneruskan fasa rahmah bulan Ramadhan.....

Tuesday, 9 July 2013

Ramadhan TerakhirKu Di Adelaide 2013

Kali ke-5 kami berpuasa di sini, Ramadhan tetap disambut pada winter juga.....

"Salam Ramadhan dari kami di Adelaide buat ayah bonda, semua kekanda, semua adinda, sanak saudara & sahabat handai semua yang sentiasa mengingati diri kami. Semoga kalian sentiasa beroleh kebaikan dan rahmat yang sentiasa lebih baik dari yang sebelum-belum ini....."

Keindahan bulan pada malam 'nisfu Sya'aban'... Real hasil tangkapan kamera kecil ku pada 2 minggu lalu.......
Posted by Picasa

Sunday, 7 July 2013

Lunch with special woman

Perancangan yang di plan lebih seminggu yang lepas, aku diajak lunch oleh my english teacher... Sungguh bangga bercampur terharu yang amat bila dihargai dan disayangi... adakah kerana aku juga begitu menghormati dia. Dalam kesibukan dia yang sentiasa penuh jadual aktiviti harian, dapat juga mengatur janji dan mempelawa aku sejak lebih sebulan dulu. So... ini cerita hari jumaat lepas.... bertemu di pintu masuk Big W, Centro Arndale Shopping Centre. Kemudian aku dan Maiko dibawa ke Junction Community Centre oleh Teacher Kay dengan menaiki keretanya. Di sanalah kami lunch sama-sama... 

  
Di sini tempat dia mengajar bahasa bermula tahun 2013. Aku di bawa melawat beberapa tempat di dalam sana....
 
 
 
 Kelas di mana dia mengajar.
 Kemudahan komputer...
Rujukan dan overhead projector (OHP)

Selepas dewan makan dibuka kami terus ke situ... Simple tetapi special bagi aku. Happy kerana dapat bersembang lama sikit dengan dia masa ni. Penuh semua meja yang dibuka dalam dewan masa tu... fully booked. 
Ready di meja makan.... Kami pilih meja makan kaler oren.
Tentang menu....
Entry bermula dengan minestrone soup ni, berasaskan sayur sahaja (hanya untuk aku dan teacher). Dia yang mengatur yang halal untuk aku. Tetapi untuk peserta lain, mereka dihidang dengan sup ayam dan jagung.
 Nasi putih dan tuna curry. Dekat dah nak licin baru teringat nak snap. 
 Apple scramble dan ice cream sebagai dessert.

Makanan memang sedap-sedap... layanan ala hotel... aku pula terlampau kenyang dan kena tapau lagi. Teacher siap bawa bekas plastik lagi untuk aku tapau makanan aku yang tak mampu aku habiskan. Macam tau-tau saja aku tak mampu habiskan semua. Katanya orang di sini tak suka membazirkan atau membuang makanan. Jadi jika kita makan kat situ dan jika tidak dapat dihabiskan, kena tapau. Sangat-sangat bagus. Jika makan buffet, bolehlah aku ambil dalam kuantiti kecil je potionnya... tapi ini semua di hidang special... 
 
 Teacher yang belanja dan bagi nombor tiket aku, 51. Rupanya tercabut sebagai salah satu nombor yang bertuah. Dapat buku comel ni ha... Maiko pun bertuah juga nombornya. Berbanggalah teacher Kay...katanya, "tengok, tetamu-tetamu saya semuanya bertuah..."
Kenangan daripada teacher.
Aku pun terhibur juga bila mereka memakai skaf yang aku hadiahkan... :-)

So... many thanks buat mu Kay... Dalam hati aku berdoa moga dapat lagi kita jumpa bila-bila suatu hari nanti, sekali pun selepas aku pulang ke Malaysia... Kuasa Allah diluar kemampuan kita.... 

Tuesday, 2 July 2013

Sup Ekor Ala Siam Style

Tup-tup sudah 2 hari bulan Julai menjengah. Bulan Sya'aban pun dah hampir ke penghujung, memberi laluan penuh hormat kepada kedatangan Ramadhan yang berkat. Penat sangat aku berlumba dengan masa ni. Setiap kali aku mengejar, dia memotong...sentiasa memotong.. tersemput-semput juga aku sentiasa mengejar... tetap aku kejar... potonglah kamu wahai masa, kerana memotong itu memang kerja kamu... selagi terdaya, akan aku kejar... setidak-tidaknya dapat aku capai seiring dengan kamu, sekurang-kurangnya aku tidak tertinggal jauh ke belakang.

Mengatur janji hari ni... sambil berkemas rumah aku buat kerja macam-macam. Sambil menjahit, aku bersembang... pastu memasak ringkas, menjamu selera, menyelongkar rumah, mengasing barang... malah sempat sambil-sambil bergarage sale... :-) kelakar juga dengarnya. Bergarage sale secara tertutup dahulu... Alhamdulillah... banyak juga barang yang dah laku... jika buat betul-betul di kala weekend nanti, barang apa lagi yang aku nak let go kan ya..? Kebanyakan bric-brac dan hampir licin... Seharian hari ni lepak dengan geng baru... group baru dan aku tak sangka betapa sudinya mereka bertamu... geng suri rumah... Aku happy kerana mereka pun selesa. Aduhai sepi itu kembali menyapa bila mereka pun terpaksa pulang di kala sore menjelang... apa boleh aku buat... 
Teringat janji pada aku sendiri minggu lepas ingin masukkan entry pasal sup ekor ritu. Bergerak slow sikit sekarang pasal bercerita di ruang ni..., masa banyak dihabiskan untuk kemas rumah dan packing semua. Nak ringankan beban bulan puasa katakan....
Ok... terus kepada resepi dan cara yang aku buat... sebab memang tiap orang ada versi masing-masing kan...

Bahan-bahan (sukatan agak-agak la ya / boleh adjust) :-
  1. 1 kilo ekor lembu
  2. 2 labu bawang besar (1 untuk merebus & 1 untuk menumis)
  3. 5 ulas bawang putih
  4. 1 inci halia
  5. 4 helai daun limau purut
  6. 2 batang serai
  7. 5 biji cili padi (ikut suka pedas)
  8. 2 biji tomato
  9. 1 kiub tomyam knorr / 1 sudu makan paste tomyam
  10. Garam secukup rasa
  11. Sedikit minyak untuk menumis
Cara-cara :-
  1. Selepas dibasuh...rebus ekor bersekali dengan selabu bawang besar yang di belah 4 atau 6 dan juga halia yang diketuk. Rebus hingga empuk dengan api perlahan lebih kurang selama 2 jam. Jangan dengan api kuat kerana daging akan jadi keras. Apabila empuk;
  2. Panaskan minyak dalam kuali dengan api besar dan masukkan bawang putih. Tumis hingga naik bau. Masukkan bawang besar (belah 4 /6), serai, daun limau purut, tomato (belah 4) dan cili padi yang diketuk. Kacau hingga naik bau. 
  3. Masukkan bahan tumisan ke dalam periuk sup dan kacau.
  4. Masukkan kiub tomyam dan garam... sesuaikan rasa dan boleh matikan api. Hidangkan...
 Sedap dihirup panas-panas bila cuaca sejuk-sejuk di winter ni.... 

Sudi-sudilah mencuba...... :-)