Resepi yang terperap sekian lama dalam draf aku. Berkebetulan ada pula kenalan yang menyebut pasalnya semalam telah mengingatkan aku untuk memaparkannya.... :-)
Solok lada.... nama asal atau cili solok boleh dimakan bila-bila masa sahaja. Jika zaman-zaman aku kecil dulu, solok lada menjadi salah satu pilihan menu special yang dihidangkan semasa kenduri-kenduri kawin. Namun bukan lah ia terikat di situ sahaja, malah boleh dibuat bila-bila masa yang di suka. Salah satu special solok lada juga bila ia dikaitkan dengan nasi kerabu. Nasi kerabu yang ada solok lada akan menjadi nampak lebih istimewa.
Walau pun telah ada bermacam-macam versi resepi solok lada yang diketahui, namun di sini tetap juga aku nak kongsikan resepi solok lada versi aku di Devon Park, Adelaide ni. Bukannya aku sengaja nak mengubah resepi yang aku tahu sebelum ini (boleh rujuk juga mana-mana resepi), juga resepi dan cara-cara yang aku tengok mak aku buat, tetapi apa yang aku buat ni adalah demi untuk memudahkan proses memasak aku sendiri. Bagi aku, cara yang aku buat ni lagi mudah dan boleh disimpan lama bahan intinya. Ok.. jom mulakan.....
Bahan-bahan yang aku pakai :-
- Cili solok. Sewajibnyalah samada yang merah atau hijau, biasanya yang hijau. Dibelah perutnya untuk ruang inti nanti.
- Kelapa parut kering.
- Santan pekat
- Ikan mackerel tin dalam spring water atau in oil atau in brine.
- Bawang merah (blend)
- Bawang putih (blend)
- Halia (blend)
- Garam.
- Gula.
- Lada hitam.
Cara-cara yang aku buat :-
- Dalam kuali atau periuk, campurkan semua bahan kecuali cili je. Gaul sebati dan mulakan memasaknya (panaskan atas api)
- Di kacau sesekali agar tidak melekat hingga santan hampir kering. Tidaklah terlalu kering cuma ada lembab-lembab basahnya.
- Sesuaikan rasa. (Petua berguna : Lagi banyak ikan lagi sedap)
- Tutupkan api dan biarkan suam.
- Sumbatkan inti ini ke perut cili.
- Kukus hingga kulit cili sedikit lembut. Kekadang ada juga time aku tak kukus pun, cuma kena rendam dulu cili tu ke dalam air panas. Biar lembut sikit kulitnya, kemudian sumbatkan inti.
- Bolehlah dihidangkan.
Cili besar dengan harga yang agak murah ini sesuai untuk dibuat solok lada. Tak sangka cili yang banyak terdapat di negeri Kelantan ini boleh aku jumpai di Adelaide. Lagi besar spesisnya. Sepanjang aku di Selangor atau Kuala Lumpur, belum pernah terjumpa cili ini dijual di sana.
Inti yang telah masak dan sedia untuk disumbatkan ke perut cili. Jika masih berbaki, inti ini boleh difrozenkan untuk kegunaan dilain kali. Boleh tahan berbulan-bulan bila difrozenkan.
Besarkan saiz cili ni..... tu yang kena potong-potong lagi bila nak dihidangkan. Macam tak larat nak habiskan sebiji tu.
No comments:
Post a Comment