Sejak tiga hari yang lalu, kepala aku asyik berdenyut-denyut je. Penat sangat kah masa aku di Wallaroo tu? Entahlah, tapi aku hanya berehat sehari je selepas balik. Itu pun tak juga, kena kemas dan basuh semua baju kotor yang dipakai di sana. Mesin basuh pulak macam nak buat hal je. Bisingnya mengalahkan orang tengah bertukang. Jangan lah rosak, mahalnya nak cari duit ganti baru.
Jika tiga hari lepas, aku gagahi juga diri ini ke gym. Tapi hari ni aku dah tak larat lagi. Malam tadi macam nak demam. Panas sejuk terasa badan di samping kepala masih berdenyut sakit. Dua tiga kali telan panadol pun tak ada kesan langsung. Jadi hari ni aku berehat ajelah kat rumah. Hubby kata kena berehat dan jangan buat apa-apa yang boleh menambahkan lagi sakit kepala. Jangan main game atau duduk depan komputer. Tak boring ke aku nanti....
Tapi aku cuba juga lelapkan mata. Bila aku terkejut, bangun dan pandangan aku makin berpusing. Jadi lebih baik aku buat kerja. Aku lipat kain yang berlonggok macam gunung tu, settle, aku basuh bathtab, aku sental sinki bilik mandi, bersih, dan aku masak makanan yang hubby claim sejak dua hari lepas, siap. Cuma tidaklah dia mengharap bila aku demam begini. Tapi aku nak buat surprise juga, tak bagitau dia awal-awal. Nanti dia jadi cepat lapar pula dekat Uni. Aku cuma cakap aku goreng ayam garam kunyit je. Tak adalah apa sangat, cuma hari tu dia tiba-tiba nak bagi aku tugas. Ingatkan tugas apa, rupanya dia minta aku masakkan dia nasi arab yang ada daging di dalamnya, bersama ayam berempah. Ini mesti kes tengok gambar dalam internet la ni..... Aku apalagi, demam-demam pun, on the way balik dari hantar dia ke Uni tadi, terus ke butcher nak cari beef rib. Beli sekilo cukuplah. Tapi sorrylah, aku goreng ayam tu terhangus sikit, biasalah, banyak sangat rempah yang menyalut.
Sebenarnya aku teringat sesuatu masa aku baca Quran lepas solat zohor tadi. Pada surah Muhammad ayat ke 36 di mana Allah telah berfirman yang lebih kurang membawa maksud " sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanyalah seperti permainan dan hiburan, jika kamu beriman dan bertakwa, Dia akan memberi kamu balasan pahala kamu, dan Dia tidak akan bertanya tentang harta benda kamu".
Aku menjadi sayu ketika itu. Aku teringat dalam dua tiga hari lepas, ada seorang sahabat telah menghantar sms dari Malaysia kepada ku. Katanya bagaimana nak menjadi orang yang baik-baik dan menjadi insan yang rasa berkecukupan pada harta dunia. Dia merasa seperti terlalu mengejar dunia kadang-kadang. Aku cuma dapat menenangkan dia dengan kata-kata perbincangan antara kami sehingga akhirnya dia sedikit tenang. Aku pun bukanlah orang yang layak untuk mengulas sesuatu.
Kita tahu yang setiap perkara ada penyelesaiannya. Sebagaimana setiap penyakit juga pasti akan ada penawarnnya. Keadaan ini mengingatkan aku kepada suatu kisah pengajaran yang boleh kita ambil iktibar daripadanya..... Iaitu kisah antara seorang raja dan seorang pengemis....
Suatu ketika seorang raja telah keluar bersama para pengiringnya untuk menikmati udara pagi yang nyaman. Di perjalanan dan dicelah-celah orang ramai, raja ini telah terserempak dengan seorang pengemis. Raja ini telah menyapa pengemis, "Wahai pengemis, apa yang engkau mahukan dari ku"?. Si pengemis itu tersenyum dan berkata, "Tuanku bertanya seakan-akan tuanku dapat memenuhi permintaan hamba". Raja terkejut dan rasa tercabar, "Tentu saja aku dapat memenuhi permintaan mu, apa saja yang engkau mahu, katakanlah". Jawab pengemis, "Berfikirlah dua kali wahai tuanku sebelum tuanku menjanjikan apa-apa".
Rupanya pengemis itu bukanlah sembarangan pengemis, namun sang raja tidak merasakan hal itu. Malah timbul pula rasa angkuh dan tidak senang hati pada diri raja kerana mendapat nasihat dari seorang pengemis. "Sudah aku katakan, aku dapat memenuhi permintaan kamu, apa sahaja! Kerana aku adalah raja yang paling berkuasa dan kaya-raya".
Lalu dengan penuh merendah diri, si pengemis telah menghulurkan mangkuk penadah sedekah lalu berkata, "Tuanku isilah mangkuk ini dengan apa yang tuanku inginkan". Raja menjadi tercabar dan memerintahkan para pengiringnya untuk mengisi penuh mangkuk pengemis yang dianggapnya kurang ajar ini dengan emas. Anehnya semua emas yang diletakkan tidak dapat memenuhi mangkuk pengemis. Tidak mahu kehilangan air muka di hadapan rakyatnya, raja memerintahkan bendaharanya mengisi lagi mangkuk itu dengan emas, tetapi masih belum dapat memenuhi mangkuk itu lagi. Tetap kosong. Bahkan segala harta raja juga telah habis diisi, namun mangkuk pengemis itu seolah tiada dasar dan berlubang.
Dengan perasaan yang tak menentu, tiba-tiba sang raja jatuh tersimpuh di kaki si pengemis, ternyata dia bukan pengemis biasa, dengan suara yang tersekat-sekat dia bertanya, "Sebelum berlalu dari tempat ini, dapatkah tuan menjelaskan, terbuat dari apakah mangkuk sedekah ini"?
Pengemis menjawab sambil tersenyum, "Mangkuk itu terbuat dari keinginan manusia yang tanpa batas. Itulah yang mendorong manusia sentiasa bergelut dalam hidupnya". "Ada kegembiraan, ghairah yang memuncak di hati, pengalaman yang mengasyikkan dikala mereka menginginkan sesuatu. Ketika akhirnya apabila mereka telah mendapat keinginan itu, semua yang telah mereka dapatkan itu seolah tidak lagi bererti.
Semuanya hilang ibarat emas, intan dan berlian yang masuk ke dalam mangkuk yang tak beralas itu. Kegembiraan, ghairah dan pengalaman yang mengasyikkan itu hanya berlaku dalam proses untuk mendapatkan keinginan itu. Begitulah seterusnya, selalu datang keinginan yang baru pula. Manusia tidak pernah merasa puas malah selalu merasa kekurangan, kerana kekuasaan itu boleh cenderung untuk berlaku tamak.
Raja itu bertanya lagi,"Adakah apa-apa cara untuk dapat menutup alas mangkuk itu"?
"Sudah tentu ada, iaitu rasa syukur terhadap segala sesuatu yang telah engkau miliki. Jika engkau tahu bersyukur, itu akan menambah nikmat padamu". Ucap sang pengemis itu, sambil ia berjalan yang kemudiannya menghilang.
No comments:
Post a Comment