Total Pageviews

Monday, 13 May 2013

Ke Torrens Island 'Marratan Thani'


Asalnya nak ke sunday market, Gepps Cross tetiba plan bertukar nak datang ke Torrens Island yang hanya baru sekali aku pergi. Ini kira dah kali ke dua. Masa datang dulu pun dengan kawan dan aku mengambil cadangan daripada bekas jiran aku dulu, jika nak ke sana, lambat sikit pun ok kot, sebabnya last-last tu akan ada lelongan. Memang la pasar lain pun macam tu, tapi itu jika kita memang nak ke sana lah kan. 
Datang lambat ni dapatlah disentuh haba matahari sikit, sekali pun angin laut kuat bertiup, tapi kurang sikitlah sejuknya berbanding di awal pagi. Setahu aku pasar ni di buka seawal jam 6.00 pagi.  Aku bertolak dari rumah pun dah lebih jam 11.00.  
Jarak untuk ke sana dari rumah aku, bukan kata jauh mana pun, dalam 14 KM lebih-lebih sikit. Torrens Island Market ni terletak di Moorhouse Road, Port Adelaide. Di sebabkan baru kali kedua pergi sana, sesat-sesat sikit jugalah aku. GPS pun tak up date petanya. Tapi ada lah bayang-bayangannya. 
Kerana buah inilah tujuan utama datang ke sini. Semata-mata nak cari buah ni. Dekat Gepps Cross pun berlambak dah agaknya, tapi dah kata tadi tukar plan. Tak tahulah ada lagi yang lebih murah dari yang ini. Ini lah yang pernah aku sebut dulu jenis vanila tu, manis rasanya. Di tengahari tu aku beli dengan harga AUD2 untuk sekilo. 
Lagi satu, aku cuba-cuba intai ikan segar, fresh yang baru ditangkap. Gerainya pengalaman aku memang ada 2 gerai je setakat 2 kali pergi ni. Hari ni salah satu gerainya ada ikan tommy, penjual tu lah yang bagitau namanya bila ditanya. Sorry aku kurang kenal rupa ikan ni. Lepas tu ada sorang makcik chinese sebelah aku siap promote kat aku, "yes, yes... these fish VELY nice" katanya. :-)...
 
Segar sangat ikannya. Dengan harga yang ditawarkan masa tu teramat murah bagi aku yang dahagakan nak makan ikan. Sekilo hanya di jual dengan harga AUD3, jika ambil 2 kilo jadi AUD5 dan jika beli 5 kilo akan berharga AUD10. Jatuh jadi hanya 2 dollar untuk sekilo. Aku apa lagi, pastilah pilih yang 5 kilo. Biar puas nak ratah ikan bakar nanti. 
Ikan yang telah aku siang dan bersihkan.

Yang diasingkan dan di packing untuk beberapa kali masak.

Jika dulu ambil perut ikan buat umpan kail, atau aku siram pokok tanaman aku macam pokok cili ke, serai ke, ulam raja ke, kacang botol ke, pokok bunga biru nasi kerabu ke atau apa-apa tanamanlah dengan air bancuhan perut ikan ni. Segar pokok-pokok tu nanti.
 Ikan ni kecil je, bakar untuk ratah malam tu. Tiba-tiba aku jadi rindu pada ikan puyu bakar tawar. Lama dah tak rasa ikan sawah bertulang banyak tu.
Untuk hubby, ini pencicah yang dia pilih kali ni, sambal belacan.
 
Tapi aku tetap setia dengan kegemaran sejak kecil dan sejak dari mengenal ikan bakar tawar ni. Hanya cuka epal, garam dan cili sahaja. Orang kampung la katakan.... :-).....

Posted by Picasa

Sunday, 12 May 2013

SeLaMat HaRi Ibu 2013

12 Mei .....
Teristimewa buat bonda-bonda kami, tiada kata seindah bahasa, tidak terucap oleh kata, tidak terukir oleh tinta, tidak terbayang oleh minda, tidak terbalas oleh kuasa segala budi, kasih-sayang dan pengorbanan kalian. Hanya terima kasih yang tidak terhingga. Doa kami sentiasa di dada untuk kalian. 
Sehabis daya, terima kasih tidak terhingga buat my hubby atas perhargaan ini.... tiada kata.... :'-)....



Saturday, 11 May 2013

Rezeki Minggu Ini....

Siap......
Pilihan : Nasi Kuning

Tempahan asas untuk 30 orang  oleh seorang kawan telah tersedia. Hanya sedang menunggu untuk di pick up pada jam 12.00 tengahari. Alhamdulillah kerana dapat menyiapkan tempahan sebagaimana yang diminta dan siap tepat mengikut masa yang terjadual. 

Friday, 10 May 2013

Buah Tin, Zaitun dan Delima Kegemaran Ku

Antara buah yang terukir namanya dalam al-Quran
Maksud firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala :-
"Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan, maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya diwaktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman".
(al-An'am : 99)
 
Buah tin yang belum masak, sekali pun sudah di akhir musim. Pokok ini kepunyaan jiran sebelah rumah ku, minta izin ambil gambar ini ya,  tapi sepanjang aku berada di sini, belum pernah aku mengecapinya.

Sekali pun ada perbezaan pada warna isi buah tin tetapi rasanya tetap sama-sama manis. Bila di keringkan juga tetap menjadi buah kegemaranku. Rasa terhibur jika mengunyah biji-biji kecilnya dengan mengeluarkan bunyi-bunyi apabila biji itu pecah.

Buah zaitun dark purple atau kehitaman, sekali pandang tak ubah macam buah anggur hitam je. Jika diletak bersebelahan, boleh terkeliru. Aku suka yang di jeruk bila dimakan dengan roti, salad atau diratah begitu saja. Iras-iras rasa pinang jeruk pun ada :-).

Zaitun hijau... Di katakan pokok zaitun adalah satu pohon mulia yang tertua dimuka bumi....

Juga berbeza warna tetapi rasanya tetap sama-sama kelat jika terus dimakan tanpa diproses terlebih dahulu. Pernah aku melihat cara memproses buah zaitun selepas dipetik. Setiap buah di korek bijinya dan direndam dengan air garam selama beberapa lama, tak silap aku seminggu hingga dua minggu tapi setiap hari air dan garamnya ditukar. Ini bagi menghilangkan rasa kelat dan pahitnya buah zaitun itu. Terasa lemak manis isinya bila siap diproses. Sesetengahya dibuat masin, masin semasinnya. Pilihlah mana yang suka. Selera masing-masing. Normalnya tekak melayu tak berapa suka. 

Surah al-Tin ayat pertama yang bermaksud :-
"Demi buah tin dan buah zaitun''. Allah Subhanahu wata'ala bersumpah dengan buah ini kerana banyak faedah, kegunaan dan keberkatan padanya. Maka terokailah.
 
Sungguh cantik ciptaan 'Yang Maha Mencipta' (al-Khaaliq). Seelok keistimewaan dan khasiat yang ada padanya. Buah delima adalah antara salah satu buah yang ada di syurga.

Firman Allah yang bermaksud :
"Di dalam kedua-dua syurga itu terdapat mata air yang memancar (tanpa henti memancutkan airnya). Maka nikmat tuhan yang manakah yang kamu hendak dustakan? Didalam keduanya ada terdapat buah-buahan serta pohon-pohon kurma dan delima"
(al-Rahman : 66 - 68)

Di musim anggur yang hampir berlalu....

Di back yard rumah seorang kenalan

Mandarin my landlord yang terjuntai ke back yard ku. Masih ada rezeki untuk aku nikmati lagi kali ini. Tahun penyudah. Jika lebih setahun dulu, kerap juga bila membuka pintu untuk menghantar bos ke Uni, aku melihat ada sebungkus mandarin di depan pintu rumah, dihantar oleh jiran depan rumah aku. Kini uncle tu dah pindah balik negerinya di Yugoslavia. Kami merindui keramahan dia, semoga dia bahagia di sana.


Lagi antara buah kegemaran......

Bukan musim cherry lagi.... dah berlalu untuk tahun ini...
 

Apricot ni pun dah habis musim.... Ada yang manis dan masam pun tak kurang...
Tengah musim picking sekarang ni....

Boleh dimakan begitu saja
Boleh juga dengan serbuk asam boi.... resepi timur campur barat.
 
Pisang kaki (persimmon) akan bermusim tak lama lagi. Vanila adalah jenis paling laris. Rangup dan manis rasanya. Dulu aku tak pernah beli masa kat pasar malam di Malaysia. Masa tu tak pernah rasa, aku ingatkan buah dia rasa masam, macam buah 'mulong' kat rumah arwah tok saudara aku masa kecik-kecik dulu.

Mangga kat sini mahal.

Nenas dimakan sesekali.

Lagi yang aku suka......

Buah-buahan hiasan untuk menjamu mata...... :-)
Posted by Picasa

Wednesday, 8 May 2013

Knitting Class Paling Sunyi

Hari ni, sampai-sampai je ke pintu kelas knitting aku tengahari tadi, cikgu dah ada menunggu. Puan Judith telah bersedia dengan segala wool yang penuh tersusun dan teratur atas meja. Bagus betul cikgu ni, menunggu anak murid. Mujur juga aku bukannya lambat. Aku sampai tepat sebelum masanya kelas bermula. 

Ya Allah... kebetulan pula.... dah la sebelum ni ahli tak ramai pun, minggu ni semua orang ada hal agaknya. Sepanjang kelas hari ni, akulah satu-satunya anak murid yang ada. Terasalah aku amat di layan. Tumpuan hanya pada aku seorang.... boleh perasan jadi anak murid kesayangan.... :-) Apa lagi, mudahkan pembelajaran aku juga, walaupun aku kena lebih banyak cakap sikit hari ni, di belanja minum kopi la... aduhai....

Pattern yang diberikan minggu lepas, bila aku cuba buat, jadilah juga 'huduh-huduh' (loghat kelantan). Hasil yang disiapkan, kenalah bagi tunjuk kat cikgu. Huduh pun cikgu nak kata apa, dia orang pasti akan bagi pujian je.
 Ini dipanggil 'cup cosy'
 Pandangan atas... butang belum siap tau... ini saja tunjuk dulu dekat cikgu.
Yang ini pula masih dalam proses. Kena buat lagi satu untuk sedikit pembetulan, kelakar pula bila ingat, macam buat kerja sekolah zaman-zaman dulu.... :-) Disebab kan aku tiada mempunyai salah satu jarum yang di perlukan, maka cikgu minta aku tukar sikit formula pattern yang tertera. Jadi bila siap nanti akan ada lah sedikit perbezaan dari rupa asal yang sepatutnya. 

Ok lah, bila dah siap nanti aku akan tunjukkan pattern tu dengan rupa yang asal serta rupa yang baru ya.... bersambung....

Tuesday, 7 May 2013

Ayam Lemon Pepper

Segera tapi lama & santai
Oppps....! dah hampir habis di santapi baru teringat... tu la tak sabar sangat nak meratah. Ayam ni di masak ala-ala slow cook dalam oven juga lah. Resepi sihat katakan, jimat minyak lagi sebab bukan bergoreng. Nak kata sedap hingga menjilat jari tu tak ada lah sangat... tapi bagi yang suka rasa masam lemon bercampur rasa pedas black pepper, boleh mencuba. Ala-ala ayam masak berherba juga. 

Ayam ni di perap dengan menggunakan serbuk lemon pepper. Aku tak perap lama pun. Lepas sapu rempah tu pada ayam, terus bungkus dengan aluminium foil dan terus masuk oven. 
Inilah dia rupa serbuk lemon pepper tu, macam rupa pasir pun ada. Rasa dia jika diletak pada lidah pun, macam ada rasa masam dan pedas lada hitam. Serbuk ni aku beli dekat 'Asian Groceries Thuan Phat'. Tapi walaupun aku dah beli dan pakai, aku rasa nak cadangkan supaya buat sendiri je rempah ni bila nak pakai. Rasa ayam lebih kurang sama je nanti. Hanya sapu ayam dengan garam, lada hitam dan perahan lemon, bakar je lepas tu. Namanya pun dua patah, lemon dan pepper.

Dan saja juga nak aku masukkan resepi yang aku dah gunakan di sini.....

Bahan yang aku pakai :-
  1. 2 ketul ayam bahagian maryland
  2. 2 sudu besar serbuk lemon pepper
  3. Sedikit garam
  4. Sedikit serbuk bawang putih
  5. Sedikit minyak bijan
  6. Segenggam daun parsley (dipotong halus)


 Cara-cara yang aku buat :-
  1. Ayam dibersih dan ditoskan air seketika.
  2. Sapukan pada ayam dengan semua bahan.
  3. Letak ayam ke loyang pembakar dan tutup dengan aluminium foil.
  4. Panaskan oven dan bakar pada suhu 180 selama 2 hingga 2 1/2 jam.

Diwrapkan dengan aluminium foil sebelum di masukkan ke oven.

Sementara menunggu ayam masak, bolehlah bersantai-santai buat apa-apa dulu. Cuma kena beringat-ingat takut terlupa pula disebabkan lama masa yang diambil. Dicadangkan buat loceng timer supaya tak terlupa nanti. Ada satu lagi cara yang boleh aku cadangkan juga bila tak nak tunggu dalam masa yang lama. Boleh juga kukus ayam tadi macam kukus ikan. Macam kukus ikan steam tu.... Tapi aku belum cuba... akhawaat cubalah dulu......

Sunday, 5 May 2013

Malaysia : Pilihan Raya Umum ke-13, Selamat Mengundi...

"Dari Ibni Umar r.a, sabda Rasulullah SAW atau sebagaimana baginda telah bersabda : 
"Semua kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap rakyat yang dipimpin. Seorang amir (raja) memimpin rakyat dan ia akan ditanya mengenai pimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarga rumahnya dan ia akan ditanya mengenai pimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan terhadap anak-anak suaminya dan ia akan ditanya mengenai pimpinannya. Seorang hamba sahaya adalah pemimpin ke atas harta benda tuannya dan ia akan ditanya mengenai pimpinannya. Ingatlah... semua kamu adalah pemimpin dan semua kamu akan ditanya mengenai pimpinannya". 
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Gambar dari Mr. Google

Pada hari ini bertarikh 5 Mei 2013, bakal tercatat menjadi peristiwa penting dalam sejarah Malaysia sebagai hari 'Pilihan Raya Umum kali ke-13'. Selamat mengundi dengan zahir dan batin kepada seluruh warga rakyat Malaysia yang layak. Tahniah kerana berjaya menjalankan tanggungjawab anda sebagai warganegara. Kami yang jauh di sini hanya mampu mendoakan semoga kemenangan pasti berpihak kepada yang benar-benar layak, bertanggungjawab, adil, jujur dan amanah kepada agama, bangsa dan tanah air tercinta.... 

Friday, 3 May 2013

Ikan Salmon Bakar

Renungan :- 

Antara 4 ciri-ciri kebahagiaan iaitu :
- Mengingati dosa-dosa yang telah dilakukan
- Melupakan kebaikan-kebaikan yang lalu
- Melihat ke atas dalam perkara agama dan
- mellihat ke bawah dalam perkara duniawi                                                              (Al-Hadis)
********************************************************************************
Resepi cepat dan mudah.....
Asyik aku berkata mudah je dengan menu terpapar. Tapi ya pun kerana memang cepat dah mudah, tak kurang juga sedapnya . Lauk mahal akhawaaat... apa pulak tak sedapnya... normalnya gitulah...

Kisahnya pada satu petang tu, ada member ajak gi jalan-jalan dan janji nak balik seawal jam 5.00 pm. Aku pun setuju je lah. Bukan apa...aku tak boleh lewat sebab ada tugas nak hantar makanan kat bos. Tapi tak boleh nak kata apa tentang menepati masa  bila dah asyik jalan-jalan tu, aku nak stop dan nak balik dulu pun tak boleh sebab tumpang dia orang. Dalam hati bukan main cuak dah sebab bos duk tunggu dengan kelaparan. Aku tadi dah bawa terus makanan yang nak di hantar pada dia, tapi letak dalam kereta aku dan kereta aku tu parking kat rumah member tu... Kesian bos aku.... 

Lambat juga baliknya, dah lepas maghrib nak dekat ke isyak dah baru sampai rumah member tu. Kenalah solat dulu dan tugas aku pula kena drive member yang sorang lagi ni untuk hantar dia balik rumah. Sementara tu bos aku telefon pulak, merajuk tak nak makanan di hantar tapi balik nanti nak ada nasi. Alamak...! tadi aku buat burger je.... maknanya aku kena keluarkan lauk frozen dan nak tunggu cair tu lambat juga. 

Mujur ada idea, kebetulan member yang aku kena hantar ni, minta nak singgah coles kejap. Kat situlah aku bergegas gi cari sepotong salmon yang tak ada offer pun masa tu. Alaaah... setakat seketul tu boleh lagi lah... nak cepat punya pasal, balik boleh terus proses. 

Bahan yang aku pakai :-
  1. Sepotong isi  ikan salmon tanpa kulit.
  2. Garam
  3. Serbuk lada hitam
  4. minyak zaitun
Cara-cara yang aku buat :-
  1. Ikan di sapu dengan garam, lada hitam dan minyak zaitun. Sapu nipis-nipis je dan jangan sampai masin.
  2. Panaskan oven.... dan
  3. Panaskan kuali serta grillkan ikan 2 minit setiap side ikan tu.
  4. Pastu angkat ikan untuk dibakar dalam avon selama lebih kurang 5 minit je atau lebih kurang lah sehingga setakat mana suka masaknya. (Boleh juga jika malas tukar pun, terus grill je dalam kuali tu hingga masak atau terus masak pakai oven je, mana-mana pun boleh, ikut sukalah) Siap....

Hidangkan bersama salad kegemaran. 
Jika sos pencicah ni sesuai tak... ?  Air asam, sambal belacan atau sambal kicap.... macam tak sesuai je.... dengan ikan bakar biasa bolehlah kot....

Ikan salmon ni sebagaimana kita dah maklum, isinya sedap, lemak dan lembut. Lagi sedap jika di makan terus selepas masak ketika dia masih panas-panas. Boleh dimakan begitu saja atau dengan sos kegemaran atau dengan nasi putih panas-panas bagi yang bertekak melayu... :-)...

Wednesday, 1 May 2013

Lamb Grill Mudah

Sesimple perapan seoriginal rasa lamb......
Masakan awal minggu....

Bahan yang aku pakai :- ( untuk 2 orang)
  1. 4 ketul potongan BBQ bahagian belakang lamb
  2. Garam secukup rasa
  3. Serbuk lada hitam
  4. Serbuk smokey BBQ
  5. Sedikit minyak zaitun
  6. 2 biji bawang besar (dipotong memanjang nipis)
  7. Sedikit salad campur
Cara-cara simple aku :-
  1. Bersihkan potongan lamb tadi dan toskan airnya seketika.
  2. Lumurkan dengan garam, lada hitam, serbuk smokey BBQ dan minyak zaitun.
  3. Panaskan kuali dan spraykan atau sapukan sedikit minyak zaitun.
  4. Grill lamb atas kuali dengan api sederhana sehingga setakat mana suka masaknya.
  5. Angkat potongan lamb tadi ke dalam pinggan hidang.
  6. Gorengkan bawang hingga separuh masak atau lembut dengan saki baki minyak dari kuali tadi, ada perisa sedap hasil dari lemak lamb dan bahan perap simple tadi.
  7. Masukkan ke pinggan lamb tadi bersama salad yang digemari.

 Atau boleh juga masukkan terus bawang ke dalam kuali setelah lamb itu jadi separuh masak.
 
Boleh di makan begitu sahaja atau dengan sos yogurt, atau apa-apa sos kegemaran. 

Cukup mudah sampai tak layak pulak rasanya untuk tayang kat sini... Tapi tak apalah, untuk aku juga, kot la bila-bila aku nak buatnya lagi, pastu lupa, boleh jenguk balik kat sini... :-)....