Wednesday, 11 January 2017

RIP My Dear Apek Yellow

Salam rahmah buat semua pengunjung Ahwaalulhayah. Tiada yang istimewanya ingin aku ceritakan. Sekadar cerita duka... sekadar catatan kenangan buat diri sendiri. 
Apek Yellow
Apek Yellow my handsome cat.

Kisah Yellow kali ini. Yellow, kucing keduaku yang hadir dan mendapat keistimewaan dalam rumah aku. Ketika itu telah lebih 4 tahun aku tidak membela kucing. Kucing pertamaku 'Kuning', aku amanahkan pada kakak sulungku untuk menjaganya beberapa hari sebelum keberangkatan aku ke bumi Australia kerana mengikut hubby yang menyambung pengajiannya di sana selama 4 tahun. 

Apabila aku kembali semula ke tanah air 4 tahun kemudiannya, kakak telah menyerahkan kepada aku, seekor anak jantan Kuning yang sangat comel pada usia lebih kurang 9 bulan ketika itu. Aku sangat gembira menerimanya. Wajah Yellow ada iras wajah ibunya Kuning. Yellow pada kiraan aku adalah anak kali ke 5 atau 6 Kuning. Sayangnya kuning telah juga pergi selepas 4 bulan aku pulang ke Malaysia. Aku menangis dengan pemergian Kuning, tapi aku bersyukur kerana Allah telah memberikan aku peluang bertemu dengannya sebelum dia jatuh sakit dan pergi. 

Ini adalah kiriman gambar dari kakak aku ketika aku masih berada di Adelaide...↓↓
Yellow kitten yang sungguh comel... 
Lincah dan aktif lagaknya.

Di Pendekkan cerita, Yellow menjadi ahli baru di samping aku. Selama hampir 3 tahun aku jaga dia sepenuh hati. Semuanya pengalaman yang ada, amat menyeronokkan bagi aku. Menjaga, memandikan, merawat jika sakit, lengkap ambil suntikan vaksin juga untuk keselamatan dia. 

Suatu hari, beberapa bulan selepas itu, aku perasan Yellow kurang mengambil berat tentang kebersihan dirinya. Bulunya pun seolah malas untuk dia menjilat umpama menyisirkan rambutnya. Punggungnya pun agak comot, tidak dibersihkan. Aku kira dia cemburu dengan kehadiran abang sulung dia yang aku saja-saja bawa balik rumah dari rumah kakak dengan tujuan supaya berkawan dengannya. Ketika itu sudah lama mereka tidak bertemu, mungkin sudah tidak mengenali. Tapi tak tahulah sejauh mana betulnya, cuma yang pasti Yellow malas membersihkan diri selepas situasi ini. Setiap kali aku mandikan dia, hanya bertahan sehari. Esoknya pasti comot lagi.

Keaadaan ini berterusan. Seorang sahabat memberikan cadangan, katanya sesekali bawalah kucing kita pergi spa kucing. Nanti tentu kelihatan cantik. Kita mandikan sendiri pun dah cantik, tapi bila kat spa ni lagi cantik katanya.... dan aku mencubanya. Memang cantik jadinya, gebu, halus dan mengembang je bulu Yellow.

Apa yang aku ingat, beberapa lama selepas itu, Yellow mendapat satu masalah kulit. Ada fungus pada beberapa bahagian badannya. Keadaan ini membimbangkan aku, takut berjangkit dengan 2 lagi kucing aku yang lain. Maafkan aku, aku syak jangkitan ini mungkin dari penggunaan peralatan seperti sikat, berus, tuala atau seumpamanya sekiranya kita menghantar kucing untuk dimandikan di spa. Mungkin kerana bergilir dengan kucing yang lain. Wallahu a'lam... itu agakkan aku sahaja. 

Maka aku rawat Yellow dengan ubat makan dan juga sapu yang diberi oleh klinik haiwan yang merawatnya. Kos rawatan fungus agak mahal, sebiji ubat telan tu aku kira rm2 sebiji. Doktor telah memberikan 14 biji untuk dimakan selama 28 hari. Ubat itu telah sedia dibelah 2 dengan harga rm28. Bukannya aku berkira dengan kos rawatan Yellow kerana aku menyayanginya. Itupun dah di kira murah berbanding beberapa klinik lagi.

Selepas habis ubat telan dan sapu tu pun, kulit Yellow masih belum elok. Keadaannya still malas menjilat bulunya. Bulunya menjadi kusut dan bersimpul. Sesekali aku rajin menggunting dan meleraikan bulu2nya yang kusut itu. Keadaan berterusan sehingga hampir setahun. Aku merawat dengan macam2 cara, sapu ubat, sapu minyak bekas goreng ikan, ubat sapu dari klinik dan juga botakkan badan Yellow untuk senang sapu ubat dan mudah kering bila dimandikan. Aku ikut cakap doktor supaya mandikan Yellow 2 kali seminggu dengan syampoo Dermasebb (syampoo khas untuk masalah fungus). Pil telan untuk fungus dan tonik hati dia pun diberi berterusan. Aku juga tambahkan vitamin 'Brewers Yeast' ke dalam dietnya setiap hari. Kadang-kadang hati aku risau sebab asyik bagi ubat je pada Yellow. 

Sehinggalah pada bulan puasa tahun lepas, aku mohon jasa baik adikku di kampung untuk menjaganya. Manalah tahu serasi dalam jagaannya maka Yellow boleh sembuh. Jadi aku bawa Yellow balik kampung bersamaku ketika balik beraya. Adikku menerima Yellow dengan senang hati.

Selama kira-kira 6 bulan dalam jagaan adikku, Yellow berkeadaan seperti biasa, ada sedikit kebebasan dari bila tinggal dengan aku yang agak terhad kawasan tinjauannya. Sesekali bila aku balik kampung, pasti aku akan pergi melawat Yellow. Aku kira dia gembira hidup di kampung. Sesekali Yellow merayau, menjadi abang kawasan bila dia suka mengejar dan mencari gaduh dengan kucing2 jantan yang lain. Dalam hati aku ada sedikit kerisauan sebab Yellow masih belum diberikan vaksin tahunan disebabkan masalah kulit dia belum sembuh sepenuhnya. Namun menurut adik aku, kulit Yellow semakin baik. Aku lega mendengarnya.
Yellow di rumah adikku. Bulunya sekali lagi dicukur gaya 'lion cut' pula.

Sehinggalah lebih seminggu yang lepas, pada Sabtu 31/12/2016, adik aku memberitahu Yellow dibawa ke klinik apabila kelihatan monyok, tidak lalu makan dan demam. Setelah diperiksa, doktor mendapati seolah ada benda keras dalam perut Yellow dan mengatakan itu adalah batu karang. Operation kecemasan dan segera ke atas Yellow pun dilakukan untuk membuang batu karang setelah mendapat persetujuan adik aku.
Yellow di bawah tidak sedar menjalani operation.

Selepas operasi tamat, Yellow terpaksa tinggal di wad untuk penjagaan yang lebih teliti. Keadaannya agak lemah dan membimbangkan. Aku tidak dapat bayangkan kaeadaan dia semasa menetap di klinik tersebut. Kesian dia. Tentu dia sunyi, stress dan ingin berada di sisi mereka yang menyayanginya. Sekurang-kurang dia dibelai dan dapat mendengar bisikan semangat dari tuannya. Aku dapat rasakan yang dia merindui tuannya. Kesian Yellow. Tentu Yellow dalam ketakutan dan kesakitan. 

Hari ke 3 Yellow di wad, aku menelifon adikku bertanya khabar. Yellow masih tidak dapat membuang dengan sendiri atau makan dengan sendiri. Doktor terpaksa memasang balik tiub pada badannya. Masih ada pendarahan. Hati aku mendetikkan perkara yang bukan2. Aku hanya mampu mendengar dari jauh, Aku hanya mampu memanjatkan doa agar Yellow tidak rasa terseksa dengan kesakitannya. Maafkan Ummi Yellow... Ummi tak mampu berada di sisi Yellow dan tidak dapat nak membelai Yellow ketika itu.

Hari ke 4 Yellow di klinik, adik aku menelifon lagi, mengkhabarkan keadaan Yellow yang masih tidak berubah. Masih belum stabil kata doktor. Hati aku berdebar sangat dengan keadaannya. Aku tetap berdoa untuk Yellow, Agar dia sembuh. Namun sekiranya telah sampai masanya, aku mohon Allah permudahkan dia, agar dia tidak menanggung kesakitan yang dialaminya. Aku sempat berpesan pada adikku, sekiranya tiada perubahan pada Yellow, mintalah dari doktor untuk bawa balik saja Yellow ke rumah.

Pagi hari ke 5 Yellow di klinik, hari rabu lepas, aku terima kiriman screenshot dari adik aku... ↓ Doktor telah memaklumkan tentang kematian Yellow. 
Aku kehilangan kata-kata bila membacanya. Sesaknya terasa dada ku, seperti ada sesuatu yang berat tersekat dikerongkongku. Terus menelifon adik aku. Itu dah ketentuan untuk Yellow. Ketabahanku tewas dan air mata ku jatuh juga . Ketika entry ini ditulis pun aku masih tidak dapat menahan mutiara jernih menitis dari kelopak mata ini. Aku masih sebak. Tapi aku merelakan Yellow pergi... kerana aku tak rela dia menanggung kesakitan yang panjang. 

Yellow dibawa balik ke rumah....↓↓↓😒😒😒
Keaadaan jasad Yellow sebelum ditanam. Terdapat kesan darah keluar melalui hidung dan punggungnya.
Raisha menatap wajah Yellow yang merupakan bapa kepada 3 anak2 (yang pertama mereka) yang baru saja berusia 2 minggu. Adik aku memberitahuku, Yellow pergi mencium Raisha dan anak2nya sebelum ia sakit. Seperti dia sudah tahu akan meninggalkan mereka.😿😿😿
Sayunya bila melihat Wirana mencium abangnya buat kali yang terakhir. 
Doktor tidak mencabut pun tiub di punggung Yellow yang masih mengandungi darah.
RIP Yellow...
Terima kasih kepada keluarga adikku yang menjaga dan menguruskan Yellow dengan baik sekali. Budi kalian hanya Allah yang dapat membalasnya.



Selembar kenangan bersama Yellow...↓↓↓

Aku masih ingat ketika ini Yellow lena berhampiran kaki ku.
Hari-hari terawal Yellow menjadi ahli rumahku...
Kelihatan Yellow bermain2 di halaman rumah bersama geng.
Comel dan lena nya Yellow tidur selepas penat dimandikan di spa.
Keadaan Yellow sebelum dan selepas dicukur bulunya. Juga semasa berjemur selepas mandi.
 
Yellow semakin berseri kerana mandi 2 kali seminggu. Bulunya kembali tumbuh melebat.
Inilah ubat untuk Yellow telan setiap hari selama berbulan-bulan bersama tonik hati untuk 5 hari pada setiap kali menyambung ubat.
Yellow telah pergi bersama kesakitan yang ditanggungnya. 

Sakitnya tidak lama, hanya beberapa hari, tetapi berat mata memandang, berat lagi badannya yang menanggung. Mungkin Yellow tidak mahu menyusahkan Ummi. Seingat aku Yellow tidak pernah demam sepanjang berada di bawah jagaan aku. Jika ada pun, hanya cirit yang berlaku di awal2 aku menjaganya. Itu pun kerana bertukar makanan secara mengejut, yang sepatutnya dilakukan beransur2. Rupanya sekali Yellow sakit, terus sakit yang berat yang membawa Yellow pergi. Kesian Yellow.
Selamat jalan Yellow, Ummi tidak dapat lagi meriba Yellow sebegini.
Apek Yellow bersama dalam hidupku 1/11/2013 - 4/1/2017.

Yellow tak pernah menyusahkan Ummi selama ini. Ummi senang menjaga Yellow. Sesekali sekiranya ada Ummi memarahi Yellow, itu adalah marah2 sayang. Ummi tidak marahkan Yellow yang suatu ketika dulu pernah melukakan kelopak mata Ummi secara tidak sengaja. Itu bukan salah Yellow, cuma kerana Yellow terkejut dengan bunyi mesin gunting rambut. Ummi tidak menyalahkan Yellow, bila di suatu petang, Ummi tiba-tiba diserang peragut ketika mencari Yellow yang telah menyelinap keluar dari kawasan rumah. Kerana Yellow juga Ummi dengan izin Allah dapat mempertahankan diri dan menghampakan peragut itu. Selepas itu Yellow tidak lagi keluar dari halaman rumah. 

Hari ini genaplah seminggu pemergian Yellow. Sememangnya Yellow tidak pernah menyusahkan Ummi. Selamat Jalan Yellow... Ummi berazam akan menjaga adik-adik Yellow dengan baik. Akan menyayangi mereka sebagaimana pernah Ummi menyayangi Yellow juga. Ummi mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yellow kerana dengan menjaga Yellow, Ummi mendapat banyak pengalaman tentang penjagaan makhluk species Yellow. Sekiranya Ummi berada di syurga nanti, salah satu impian Ummi adalah ingin bertemu kembali dengan Yellow.

Selamat jalan Yellow... 😒😒😒


No comments:

Post a Comment